Tunggakan masuk bulan keeempat, Mohd Yusof tidak jamin bayar dalam masa terdekat


Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi tidak mampu memberikan penjelasan yang jelas berhubung kegagalan pembayaran gaji pemain dan jurulatih yang sudah memasuki bulan keempat.

Setakat ini, Astro Arena melaporkan, masih belum ada sebarang jaminan untuk pemain dan jurulatih Melaka Melaka United menerima bayaran tunggakan gaji dalam masa terdekat.

Mohd Yusoff menjelaskan hal itu masih lagi dalam perbincangan pihak pengurusan tertinggi dan belum ada sebarang keputusan untuk meredakan rasa tidak puas hati pemain skuad Hang Tuah ketika ini.

"Setakat ini, apa yang boleh saya katakan ia dalam makluman pengurusan tertinggi. Saya percaya pengurusan tertinggi akan berbincang untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Di sebalik kemelut yang melanda, beliau juga menegaskan hal ini berpunca daripada kegagalan pihak penaja membuat pembayaran yang sepatutnya kepada MUSA sekali gus memberi kesan kepada pembayaran gaji pemain.

"Beberapa penaja yang lalu masih belum membuat pembayaran sepenuhnya. Kami jangka mereka bayar pada Jun lalu tetapi tiada, begitu juga dengan dengan Julai, tetap tiada.

"Kami sebagai pengurusan memang berjanji kerana jangkakan wang akan masuk. Namun, penaja masih belum tunaikan janji tepat pada masanya, jadi ia menyukarkan pengurusan."

Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA semalam memaklumkan akan mengumumkan perkara mengenai isu gaji dalam satu sidang media pada sidang exco kerajaan negeri hari ini.

Foto: Astro Arena