Hari malang Melaka United - Zainal Abidin


Bukan kepulangan Ifedayo Olusegun ke Stadium Hang Jebat menghantui penyokong Melaka United tetapi gol jaringan sendiri menyebabkan skuad Hang Tuah kehilangan tiga mata di laman sendiri.


Ketiadaan penyerang, Davy Angan yang mengalami kecederaan tampak memberi kesan pada separuh masa pertama selepas Zainal Abidin Hassan tiada pilihan dengan meletakkan Patrick Reichelt dan Luka Milunovic mengetuai jentera serangan.

Keadaan itu jelas apabila tuan rumah gagal merekodkan percubaan tepat ke arah gawang lawan pada separuh masa pertama dengan corak formasi 4-4-2 yang diterapkan ketua jurulatih.


Di babak kedua, Zainal Abidin melakukan perubahan taktikal dan seakan membuahkan hasil apabila Melaka United mula menguasai perlawanan.

Namun, kelekaan bahagin pertahanan Melaka United dihukum apabila K. Prabakaran bijak menyelinap masuk menewaskan tiga pertahanan sebelum melakukan hantaran ke Endrick dos Santos.


Pemain tengah dari Brazil itu kemudiannya melepaskan cubaan ke arah gol namun diselamatkan Ahmad Solehin Mamat di gawang gol tetap bola kemudiannya melantun terkena Jang Suk-won sebelum masuk ke gawang tuan rumah.

Tersentak dengan gol itu, Melka United cuba bangkit mencari gol penyamaan dengan membawa masuk K. Deevan Raj menggantikan Ramzi Haziq Mohamad.

Kemasukan Deevan hampir membuatkan hasil namun cubaan pemain sayap itu tepat ke dakapan penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azahan Mohd Khalid pada minit ke-74, biarpun sebelum itu pengadil menafikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Sandro da Silva.


Melaka United melakukan beberapa cubaan selepas itu namun anak buah B. Sathianatahan kental mempertahakan gawang mereka untuk meraih kemenangan sulung mereka di Piala Malaysi. 

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, nasib tidak menyebelahi pasukannya selepas tewas hasil jaringan sendiri anak buahnya.


"Melaka United tidak patut kalah terutama di separuh masa kedua. Kita bolos hasil gol sendiri tetapi kita tetap bangkit.

"Hari ini hari malang pasukan Melaka United kerana pemain sudah berusaha dengan baik.

"Di separuh masa pertama, kita membiarkan bahagian tengah dikuasai Selangor. Kita perbaiki di separuh masa kedua dan kelemahan yang membawa kepada kekalahan kita malam ini," katanya hari ini.