.

.

MUSA bayar tunggakan gaji sebulan akhir bulan ini


Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akan melangsaikan tunggakan gaji kepada skuad Melaka United secara berperingkat bermula bulan ini.

Presidennya yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, bayaran sebulan gaji akan mula dilunaskan hujung bulan ini membabitkan kos kira-kira RM1 juta.

Lapor Berita Harian Online, beliau turut menepis khabar angin kononnya bayaran gaji tertunggak mencecah lima bulan sedangkan tunggakan hanya tiga bulan.

"Saya kecewa apabila ada yang mendakwa gaji pemain tidak dibayar sehingga lima bulan, ia tidak benar kerana tunggakan sebenar adalah tiga bulan.


"Kekangan yang kita hadapi sekarang adalah bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak sejak tahun lalu dan kita berusaha melunaskannya secara berperingkat beserta dengan bayaran gaji menjelang hujung bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikan selepas menghadiri Majlis Makan Malam Negeri sempena Kovensyen Pengembangan dan Hari Inovasi Veterinar di A' Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka malam tadi.

Isu tunggakan gaji pemain kembali menjadi perbincangan hangat selepas kapten pasukan, Mohd Shukor Adan memuat naik satu gambar di laman Instagram miliknya, lima hari lalu dengan keterangan gambar mengenai bebanan pemain yang masih belum menerima bayaran gaji.


Gambar barisan pemain Melaka United yang dimuat naik itu disertakan keterangan "Alhamdulillah layak ke suku akhir. Terima kasih kepada penyokong atas sokongan dan terima kasih juga kepada pemain Melaka United yang bermain bermati-matian walaupun terbeban dengan masalah gaji yang masih belum dibayar."

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi kelmarin berjanji akan berusaha mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji yang menyelubungi pasukan itu.

Beliau dilaporkan berkata, kelewatan pembayaran gaji yang dihadapi itu berikutan terdapat penaja yang masih belum menyelesaikan komitmen tajaan.

Foto: FB Adly Zahari
Powered by Blogger.