.

.

Melaka United mandi peluh sebelum ke suku akhir


Melaka United berjaya menempah slot suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan PDRM FA di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Turun dengan misi mengutip sekurang-kurangnya satu mata untuk melangkah ke peringkat seterusnya, Melaka United terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Luka Milunovic.

Penyerang dari Serbia itu berjaya melepasi perangkap offside sebelum mudah menewaskan See Tean Keat pada minit kesembilan.


Namun, selang seminit kemudian PDRM FA yang dibimbing bekas pengendali Melaka United, E. Elavarasan bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhammad Fakhrul Aiman Sidid.

Muhammad Fakhrul yang tidak dikawal melakukan percubaan dari luar kotak berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat, yang sepatutnya boleh melakukan halangan lebih baik bagi menafikan jaringan tersebut.


Belum pun sempat Melaka United mendapatkan gol pendahuluan, PDRM yang turun selaku tuan rumah di bumi Melaka kembali di depan pada minit ke-34 menerusi tolakan mudah Uche Agba.

Usaha Melaka United memburu gol penyamaan di babak kedua berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Patrick Reichelt dijatuhkan Khairul Izuan Abdullah.


Bekas skipper kebangsaan, Safiq Rahim tidak mempunyai masalah menyempurnakan sepakan tersebut sekali gus menghadiahkan satu berharga untuk Melaka United.


Di peringkat suku akhir, Melaka United bakal menentang Pahang menerusi perlawanan yang akan diadakan secara timbal balik.
Powered by Blogger.