Bendahari Kehormat Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Yuhaizad Abdullah memberi bayangan akan berundur daripada jawatan yang disandangnya ketika ini.
Menerusi satu komen yang dicatatkan di Facebook deejay Sahabat FM, Amitabh Hasan, Yuhaizad yang juga penolong pengurus pasukan berkata, dia tiada masalah berundur bersama 'boss' demi kebaikan kesemua pihak.
"Insya-Allah saya rela hati meninggalkan bola sepak Melaka United bersama boss. Moga MU (Melaka United) terus gemilang di bawah jagaan adik-adik kita. Amin," katanya kelmarin.
Difahamkan, 'boss' yang dimaksudkan Yuhaizad adalah Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi kerana mereka telah beberapa tahun bersama membangunkan bola sepak negeri tersebut.
Pengurusan MUSA yang diterajui Ketua Menteri, Adly Zahari mendapat kecaman hebat daripada penyokong susulan prestasi hambar tewas 0-3 kepada Pahang di peringkat suku akhir pertama Piala Malaysia.
Lebih memburukkan keadaan, kekalahan itu dikaitkan dengan kegagalan MUSA menjelaskan gaji pemain yang dilaporkan telah masuk lebih dua bulan.
Foto: MUSA
Foto: MUSA