.

.

Agba-Brown bakal sertai Melaka United - Damian Yeo


Penyerang Energy FC, Deshorn Brown sah bakal bergandingan dengan Uche Agba dari PDRM FA bagi mengetuai jentera serangan Melaka United musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li berkata, secara dasarnya kedua-dua pemain berkenaan bersetuju menerima tawaran beraksi bersama Melaka United dan akan menandatangani kontrak pada minggu ini.

Katanya, Deshorn, 29, pernah bermain dengan pasukan DC United dan Rapid Colorado di Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS) manakala Uche, 33, mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia.

"Kami sudah berfikir panjang dan membuat keputusan hanya akan menggunakan empat pemain import musim ini selepas Patrick Reichelt tidak menyambung kontrak bagi kuota pemain Asia Tenggara.

"Kami mendapati ramai lagi pemain Malaysia yang baik dan berkualiti setanding pemain import ASEAN, oleh itu kami putuskan akan mendapatkan pemain tempatan sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan pasukan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan telah membawa masuk seorang pemain import dari Columbia, Romel Morales Ramirez serta mengekalkan pemain import Asia, Jang Suk Won (Korea Selatan).


Dalam pada itu, Damian berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengadakan Piala Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai perlawanan pramusim membabitkan penyertaan kelab-kelab negara jiran.

Katanya, kelab berkenaan adalah dari Indonesia, Thailand dan Singapura termasuk Melaka United sebagai persediaan menghadapi Liga Super musim 2020 dalam mencari persefahaman dan keserasian pemain.

"Kami akan mengadakan kunjung hormat kepada Tun Dr Mohd Khalil bagi mendapatkan kebenaran daripada beliau untuk menganjurkan pertandingan tersebut dan setakat ini kami juga sedang menunggu pengesahan sekurang-kurangnya empat kelab untuk menghantar penyertaan," katanya.
Powered by Blogger.