Kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berjanji akan menyelesaikan isu tunggakkan gaji pemain musim ini selewat-lewatnya minggu pertama Disember depan.
Presidennya, Damian Yeo Shen Li berkata, gaji tertunggak pemain bagi musim 2018 telah pun dijelaskan sementara gaji pemain musim ini telah pun dibayar sehingga Ogos.
Katanya, persatuan cuba menyelesaikan gaji tertunggak tiga bulan dari September hingga November secepat mungkin dalam bulan ini.
"Untuk makluman, gaji bagi skuad Liga Super sudah selesai dibayar sehingga Ogos. Ini bermaksud kita berhutang selama tiga bulan.
"Jumlah gaji tertunggak selama tiga bila itu adalah sebanyak RM3.3 juta, tidak termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya ketika sesi dialog bersama penyokong di Stadium Hang Jebat hari ini.
Mengulas lanjut, Damian berkata, bagi menjelaskan hutang berkenaan, MUSA terpaksa menggunakan sedikit peruntukan wang tajaan sebanyak RM11 juta bagi musim 2020.
Menurut beliau, ada penaja musim lalu yang masih belum membayar wang tajaan hang dijanjikan.
"Kita akan sedaya upaya menyelesaikan baki hutang gaji pemain Liga Super. Setelah ditolak bagi bayaran ini, peruntukan dari tajaan tinggal antara RM8 hingga RM9 juta lagi, tidak termasuk bajet pengurusan," ujarnya.