.

.

Gandingan Agba-Brown ketuai serangan Melaka United?


Penyerang antarabangsa Jamaica, Deshorn Brown dan pemain PDRM FA, Uche Agba dilaporkan semakin hampir melengkapkan perpindahan ke Melaka United.

Brown yang kini beraksi di divisyen dua Amerika Syarikat (AS) bersama OKS Energy FC telah merekodkan 15 gol dalam 30 penampilan bersama pasukan yang bertapak di Oklahoma itu.

Pemain berusia 29 tahun itu, pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) AS seperti DC United dan Colorado Rapids berkelana ke Norway bersama Valarenga dan kemudiannya ke China (Shenzen FC).

Sementara itu, difahamkan Agba kini hanya 'membilang hari' menanti kontraknya bersama PDRM FA tamat sebelum dapat 'naik pangkat' ke Liga Super bersama Melaka United.


Agba yang dibawa masuk bagi menggantikan Andrezinho merupakan rakan sepasukan bekas penyerang import Melaka United, Ifedayo Olusegun ketika beraksi di Liga Bahrain.

Penyerang kelahiran Nigeria itu pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Bahrain dan ketika bersama PDRM FA, Agba meledak sembilan gol dalam 12 penampilan musim ini termasuk dua gol dalam aksi Piala Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li ketika ucapan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, Melaka United hanya akan menggunakan empat pemain import sahaja.


"Kita juga menyimpan 10 pemain musim 2019, lima pemain muda, empat import termasuk dari Korea Selatan, Nigeria, Colombia dan Jamaica. 

"Yang dari Jamaica pernah main dengan pasukan DC United dan Rapid Colorado di MLS, kelab yang terkemuka di AS dan dua pemain 'bersejarah' dan selainnya daripada pemain-pemain dari negeri lain, (skuad) Pila Presiden, dan lain-lain," katanya.


Melaka United mengekalkan pemain import Korea Selatan musim lalu, Jang Suk-won dan mengikat bekas pemain tengah PKNS FC yang berasal dari Colombia, Romel Morales.
Powered by Blogger.