.

.

Mungkinkah Aidil Zafuan 'singgah' di Melaka?


Mungkinkah pertahanan kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak akan mengikut jejak langkah Safiq Rahim berhijrah ke Melaka United selepas dilepaskan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Itu persoalan yang berlegar di minda pemerhati bola sepak dan penyokong selepas pertahanan berusia 32 tahun itu kini menjadi ejen bebas, masih belum mempunyai kelab sehingga kini.

Melaka United di bawah kepimpinan baharu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li mungkin boleh memanfaatkan situasi ini dengan menyambar Aidil Zafuan sebelum pemain tersebut disambar pasukan lain.

Ini kerana menurut Damian Yeo, pasukan itu hanya akan menggunakan empat pemain import sahaja musim depan tanpa mengambil pemain dari Asia Tenggara.

Sebagai ganti, beliau berkata, Melaka United bakal membawa masuk pemain tempatan yang mempunyai kualiti yang sama atau lebih baik daripada pemain dari rantau ini.


Langkah tersebut dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan kelab bukan sahaja dalam faktor gaji malah beberapa lain seperti urusan logistik dan sebagainya.

Dana tersebut mungkin boleh digunakan bagi menampung pembayaran gaji Aidil Zafuan yang kini masih mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan sekali gus membuktikan dirinya masih fleksibel beraksi dalam kancah bola sepak tempatan pada usia 30-an.

Dengan tempoh yang terhad, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) perlu mengambil langkah segera mengikat Aidil Zafuan untuk digandingkan bersama pemain import, Jang Suk-won mahupun pemain tempatan seperti Mohd Razman Roslan dan Anas Rahmat.

Dalam pada itu, Melaka United dilaporkan semakin hampir mengikat pemain tengah Terengganu FC (TFC), Ahmad Syamim Yahya. 


Ahman Syamin yang pernah beraksi bersama Felda United dilepaskan TFC akhir musim ini mengakui kepada Berita Harian, dia giat mencari pasukan baharu bagi aksi musim 2020.

Pemain sayap itu dilihat sedikit bergelut untuk menampilkan aksi terbaik kerana pasukan menghadapi beberapa isu dalaman seperti pergantian ketua jurulatih pada pertengahan musim.

Kehadiran Ahmad Syamin juga dilihat satu opsyen yang baik untuk Melaka United di bahagian tengah atau sayap selepas Mohd Nazrin Nawi mengambil keputusan berhijrah ke pasukan lain musim depan.

Foto: FAM, TFC
Powered by Blogger.