.

.

Bengaluru FC 'rampas' Brown? Bakal import Melaka United didakwa akan sertai kelab ISL


Penyerang Oklahoma City Energy FC, Deshorn Brown kini menjadi rebutan apabila beliau dilaporkan bakal menjadi tonggak baharu Kelab Liga Super India (ISL), Bengaluru FC pada Januari depan, lapor portal sukan India, The Bridge.

Situasi itu jelas bertentangan dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li yang memberitahu penyokong bahawa Brown bakal bergandingan dengan seorang lagi import, Uche Agba di posisi serangan musim depan.

Penyerang antarabangsa Jamaica itu dijangka menjadi pemain import terakhir menyertai Melaka United pada jendela perpindahan awal musim ini selepas MUSA enggan mengambil pemain dari ASEAN untuk memenuhkan kuota import.


Sementara itu, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan kelab yang berada di kedudukan kedua ISL itu, Brown dijangka dibawa masuk bagi menggantikan Manuel Onwo yang gagal menyinar seperti import sebelum itu, Miku.

Bengaluru FC menagih khidmat Brown selepas Onwo gagal meledak sebarang gol dalam tiga penampilan sejak menyertai kelab pada 17 Julai lalu.

Rekod itu jauh berbeza dengan Brown yang boleh beraksi di posisi penyerang dan bahagian sayap yang telah menjaringkan 15 gol dalam 30 penampilan bersama Energy FC yang beraksi di divisyen dua Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS).

Powered by Blogger.