.

.

Melaka United mampu cabar JDT - Razman


Mampu cabar Johor Darul Ta'zim (JDT)!

Itu semangat yang dilontarkan pertahanan berpengalaman, Mohd Razman Roslan terhadap pasukan berwajah baharu Melaka United untuk musim 2020.

Bercakap kepada Harian Metro, Razman berkata, gabungan Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat bersama beberapa pemain lain termasuk bintang muda dan import dilihat mampu menempuh cabaran getir musim depan.

Katanya, dia yakin Melaka United mampu menjadi pencabar terbaik kepada penyandang juara Liga Super, JDT; Pahang, Selangor dan pasukan lain sekali gus memenuhi impian tinggi penyokong setia skuad berkenaan.


“Apapun yang penting semua perlu memberi komitmen tinggi sepanjang sesi latihan dan perlawanan sebenar bagi menghasilkan keputusan lebih positif berbanding musim ini.

“Setiap pemain memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri dan gabungan terbabit mampu memberi impak terhadap perjuangan pasukan Hang Tuah,” katanya.

Razman merupakan antara sembilan muka lama yang kekal bersama pasukan kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Anak kelahiran Selangor itu mahu memastikan mereka mampu meraih kedudukan empat teratas liga.


Sementara itu, Zainal pula berkata, kesemua pemain perlu memberi fokus jitu memantapkan persembahan secara berpasukan sepanjang sesi latihan ketika ini.

Katanya, dia yakin skuad berkenaan memiliki barisan lebih mantap kali ini dengan mereka perlu segera membentuk keserasian padu menjelang aksi pembukaan liga Februari 2020.
Powered by Blogger.