Melaka United dijangka menguji calon penyerang import baharu pada aksi persahabatan menentang juara Saturday Night Football, Ritz FC di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan barisan kejurulatihan bakal melakukan penilaian akhir terhadap bekas pemain PSM Makassar, Amido Balde, 27, malam ini sebelum menentukan adakah pemain tersebut benar-benar layak ditawarkan kontrak bersama Melaka United.
Balde merupakan produk Sporting Lisbon di Portugal dan pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Cercle Brugge (Belgium, Victoria SC (Portugal), Celtic (Scotland), FC Metz (Perancis), Persebaya dan PSM Makasar (Indonesia).
Pemain kelahiran Guinea-Bissau itu menjaringkan enam gol dalam 14 perlawanan bersama PSM Makassar namun kesemua gol yang dijaringkan adalah pada awal penampilannya bersama pasukan dari Indonesia itu.
Balde bagaimanapun dilaporkan ketandusan jaringan selepas itu dan kemudiannya dilepaskan oleh PSM Makassar.
Selain daripada Balde, Melaka United dilaporkan turut mengintai peluang mendapatkan Leocisio Julio Sami atau Sami serta seorang penyerang dari negara China.
Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua penyerang berkenaan turut diuji Melaka United malam ini.