MUSA rayu derma bayar gaji tertunggak


Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menyeru penyokong pasukan menyahut saranan Presiden, Damian Yeo Shen Li untuk menderma kepada pasukan.

Penolong pengurus Melaka United, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, usaha mendapatkan derma awam itu adalah salah satu usaha menyelesaikan masalah kewangan skuad musim lalu.

Katanya, sokongan penyokong setia, individu dan awam mampu mengatasi isu sebelum ini dan dalam masa sama menampilkan semangat jitu kepada pasukan.

"Tidak timbul masalah kewangan bagi perbelanjaan musim 2020 yang kini membabitkan persediaan rapi skuad berkenaan.

"Mungkin salah anggap umum bahawa derma awam terbabit bagi membantu persediaan pasukan untuk musim depan," katanya kepada BH Online semalam.


Damian Yeo sebelum ini memuat naik status di media sosial baru-baru ini meminta derma awam untuk pasukan itu.

Pelbagai reaksi diterima daripada penyokong namun Damian Yeo juga sudah menjelaskan itu hanya untuk menyelesaikan hutang sebelumnya dan bukan bagi pentas pertandingan Hijau Putih untuk musim akan datang.

Foto: MUSA