.

.

Satu lagi peluang buat Balde - MUSA


Seakan tidak belajar daripada kesilapan lalu, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) mahu memberi peluang kedua buat bekas penyerang PSM Makassar, Amido Balde.

Biarpun menjaringkan dua gol dalam aksi persahabatan Sabtu lalu, prestasi hambar yang dipamerkan pemain berkenaan mencetus rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Ini kerana penyerang 'buangan' kelab Indonesia itu disifatkan tidak cukup layak untuk mengetuai jentera serangan Melaka United bersama seorang lagi penyerang import, Uche Agba.

Nada berbeza pula dilontarkan Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li apabila mahu melihat aksi penyerang berusia 27 tahun itu kerana menganggap pemain tersebut kepenatan selepas baru tiba dari Indonesia.


"Sebaik sampai dia terus diuji. Faktor keserasian dan memahami corak permainan rakan sepasukan juga perlu diambil kira.

"Kami beri dia peluang menjalani latihan dan menyertai satu lagi aksi persahabatan dalam memantapkan persembahannya bagi memastikan dia sedia diuji," katanya kepada Harian Metro semalam.

Balde mendapat kritikan daripada penyokong ketika menentang Rizq FC berikutan aksi hambar termasuk kawalan bola yang kurang baik apatah lagi menetang pasukan amatur.

Melaka United mempunyai sejarah tersendiri dalam merekrut pemain import pada awal musim sehinggakan terpaksa ''membazir duit' membawa masuk import baharu pada pertengahan musim.
Powered by Blogger.