Tiada pusingan-U, Brown akan sertai Melaka United - Damian Yeo


Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menafikan khabar angin bahawa penyerang Energy FC, Deshorn Brown akan menyertai kelab kaya Liga Super India (ISL), Bengaluru FC.

Sebaliknya, penyerang berusia 28 tahun itu akan menyertai Melaka United menerusi kontrak persetujuan yang akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li berkata, beliau yakin Brown tidak akan melakukan pusingan U dengan memilih kelab lain.

“Memang  ada dengar-dengar Bengaluru FC ingin mendapatkan khidmatnya tetapi tak mudah untuk saya lepaskan Brown, kerana kesemua perkara melibatkan elaun dan beberapa perkara lain telah selesai dibincangkan.

“Dia juga meminta kontrak selama dua tahun dan kita bersetuju, dengan syarat dia mesti mengekalkan prestasinya dan mencapai sesuatu yang membanggakan seperti penjaring terbanyak atau sebagainya,” katanya kepada MelakaKini hari ini.


Mengulas lanjut Shen Li berkata, MUSA juga mempunyai ‘senarai kecemasan’ jika Brown memilih untuk menyarung jersi bersama kelab lain.

“Sudah tentu kita ada ‘back up’. Tetapi, dari sudut pengurusan, kita yakin dengannya dan tak akan lepaskan dia pergi.

“Jangan main-main dengan saya,” tegasnya.