.

.

Ada ke tak rundingan? Anichebe nafi adakan perbincangan sertai Melaka United


Usaha Melaka United untuk mendaptkan bekas penyerang Everton, Victor Anichebe menjadi tanda tanya apabila pemain kelahiran Nigeria itu menafikan mengadakan sebarang rundingan dengan wakil Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Memetik laporan Fox Sports Asia, Anichebe yang dikatakan bakal bergandingan bersama Uche Agba di jentera serangan Melaka United tidak pernah mengadakan perbincangan apatah lagi menarik diri daripadanya.

Ini sekali gus menafikan dakwaan Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li yang menyalahkan tindakan bekas kapten, Mohd Shukor Adan kerana melaporkan isu tunggakan gajinya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai punca rundingan bersama Anichebe mengalami kegagalan.


Mohd Shukor telah menyerahkan afidavit tuntutan hak gaji dan bonus bagi musim 2019 secara terus kepada FAM berikutan MUSA tidak melunaskan bayaran tunggakan dalam tempoh ditetapkan, malah sekadar memberi alasan demi alasan.

“Itu tidak benar, saya tidak pernah sekalipun bercakap dengan pasukan itu (Melaka United) dan tidak tahu mengenai apa yang berlaku kepada mereka yang perlu mengaitkan nama saya. Itu sahaja apa yang boleh saya cakap," katanya malam tadi.


Kenyataan Anichebe itu mencetus persoalan adakah Damian Yeo atau pengurusan MUSA telah bertemu dengan pemain lain dan menganggapnya sebagai Victor Anichebe, mungkin mereka ditipu ejen atau sememangnya rundingan dengan pemain itu hanya sekadar rekaan?

Sebagai rekod, pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini dikatakan sebagai calon utama untuk mengetuai jentera serangan Melaka United bagi musim 2020 susulan kegagalan mereka mendapatkan khidmat pemain dari Jamaica, Deshorn Brown yang memilih untuk menukar haluan menyertai kelab India, Bengaluru FC.

Ketika ini, Melaka United mempunyai tiga pemain import iaitu Uche Agba, Romel Morales dan Jang Sukwoon.

Foto: MUSA, Eurosport
Powered by Blogger.