.

.

Aksi jentera tengah kurang memuaskan - Damian Yeo


Banyak aspek terutama di bahagian tengah perlu diperbaiki. Itu komen Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li selepas aksi persahabatan pramusim kedua menentang UKM FC, malam tadi.

Menurut Damian Yeo, beberapa pemain menjalankan tugas dengan baik namun dari aspek keserasian, banyak yang perlu diperbaiki.

"Saya masih tidak nampak keserasian yang saya mahukan. Dari segi 'Competitive Football' masih perlu ada keserasian antara pemain. Uche Agba, Jang Suk-Won bermain baik.

"Bahagian tengah masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi saya harap aksi pramusim di Bandung (Indonesia), pemain-pemain dapat membentuk keserasian, jika tidak ini agak sukar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat malam tadi, Melaka United berjaya menundukkan UKM FC 2-0 hasil jaringan Romel Morales dan Suk-won.


Dalam pada itu Damian Yeo berharap penyokong memberikan mereka sedikit masa kerana dalam membentuk pasukan terbaik MUSA perlu bersabar dengan situasi ini.

"Saya masih tidak gembira terutama di bahagian tengah, kita memiliki barisan yang kuat ketika ini tetapi mereka masih belum serasi.

"Mereka mendapat banyak peluang tetapi tidak dapat diterjemahkan dengan jaringan, jadi keserasian itu masih belum mantap.

 "Ini memerlukan masa untuk membentuk persefahaman antara satu sama lain dan daripada itu ia akan menjadi lebih baik," ujarnya.
Powered by Blogger.