Isu tunggakan gaji bekas pemain Melaka United memasuki episod baharu apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li menuntut permohonan maaf daripada Mohd Shukor Adan.
Memetik laporan MelakaKini, Damian Yeo berkata, pemain pertahanan berusia 40 tahun itu sepatutnya berjumpanya, Timbalan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi atau Setiausaha Agung, Farhan Ibrahim terlebih dahulu sebelum membuat keputusan melulu.
“Memang dia ada hak, saya tidak nafikan, tetapi ini akan melambatkan pembayaran gaji kepadanya. Kita mungkin akan bayar habis tunggakan musim pada 15 Januari depan atau sekurangnya-kurangnya sebelum Februari 2019.
“Tetapi, bila dia telah failkan afidavit, saya kena jawab dalam tempoh 14 hari dan dia pula kena melakukan perkara sama kemudian yang saya jangkakan akan berpanjangan hingga saingan liga musim 2020 tamat.
“Cara mudah adalah dia tarik semula kes dan mohon maaf kepada persatuan, sebab itu saya cakap jika dia mahu bermain dengan api, saya akan berikan dia api,"
“Kalau dia mahukan duit, dia kena minta maaf,” katanya hari ini.
Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menuntut MUSA menyelesaikan tunggakan gaji pemain musim lalu dengan cara lebih baik.
Menerusi satu paparan cerita yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi @hrhcrownpriceofjohor hari ini, Tunku Ismail mahi Damian lebih bertenang dalam menyelesaikan itu berkenaan.
Mohd Shukor kelmarin hadir ke ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membuat laporan dan menuntut tunggakan gaji daripada Melaka United.
Kunjungan itu disiarkan di akaun Facebook rasmi Shukor Adan Official dan kemudiannya mendapat reaksi balas daripada Damian Yeo.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Duyong itu memberi amaran kepada Mohd Shukor agar tidak cuba bermain-main dengan beliau.
"Shukor Adan, jika kamu bermain dengan api saya akan pastikan kamu dapat api juga nanti," katanya di Facebook peribadinya.
Mengulas lanjut, Shen Li juga melabelkan tindakan pemain Kuala Lumpur itu sebagai tidak adil.
“Kena faham, bukan kita tak mahu bayar, tetapi ia mengambil masa.
“Pelbagai kata diberikan kepada saya termasuk hanya ‘bising’ di media sosial, ‘jadi kenapa?’, kamu hanya Shukor Adan yang dah berumur 40 tahun, anak Melaka tetapi bila umur hampir mencecah 40 tahun baru datang ke Melaka, ia tidak adil,” katanya.