Norde pemain import keempat Melaka United


Sony Norde kini sah sebagai pemain baharu Melaka United sekali gus melengkap kuota empat pemain import pasukan itu untuk musim 2020.

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) menerusi kenyataan berkata, Norde, 30, merupakan seorang pemain sayap untuk pasukan kebangsaan Haiti menandatangani kontrak selama setahun bersama Melaka United.

Memulakan karier sebagai pelatih di kelab terkemuka Argentina, Boca Juniors dari 2008 hingga 2011, Norde kemudiannya berhijrah ke Mexico menyertai kelab San Luis B dan kemudiannya, Altamira.

Beliau kemudiannya berhijrah ke dua kelab Bangladesh Premier League, Sheikh Russel KC dan SJD Club pada 2013 dan 2014.


"Kelincahannya telah menarik minat kelab-kelab terkemuka India untuk membawanya beraksi di Liga India (I-League) sekitar 2014 hingga 2019. Bermula dengan mewakili Mohun Bagan, Norde pernah dipinjamkan ke Mumbai City FC pada 2015 dan 2016.

"Sebelum ke Melaka United, beliau menyertai kelab Azerbaijan, Zira FK," katanya hari ini.

Pencapaian terbaik Norde setakat ini ialah membantu Mohun Bagan muncul Juara I-League musim 2014/2015 dan Juara Indian Federation Cup 2015/2016 selain telah menyumbang dua gol di peringkat antarabangsa.

Foto: MUSA