Terima kasih TMJ, biar kami selesaikan ikut cara kami - MUSA


"Biar isu dalaman diselesaikan ikut cara kami."

Itu penegasan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li terhadap kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu gaji tertunggak persatuan itu.

Damian Yeo berkata, beliau sangat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim itu namun MUSA mempunyai cara tersendiri menyelesaikan masalah tersebut.

"Terima kasih Tunku Ismail atas nasihat (yang diberikan), saya sangat hargainya namun kami akan menyelesaikan isu dalaman ini mengikut cara MUSA sendiri.

"Bagaimanapun, lawan tetap lawan. Kita jumpa di padang JDT pada 13 Mei nanti," ujarnya menerusi akauan Facebook malam tadi.


TMJ menerusi akaun Instagramnya semalam memerli cara pengurusan MUSA menyelesaikan isu gaji tertunggak Mohd Shukor Adan dan beberapa bekas pemain skuad 2019.


Itu berlaku selepas Mohd Shukor hadir ke ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membuat laporan dan menuntut tunggakan gaji daripada Melaka United.

Susulan itu, Damian Yeo menuntut permohonan maaf daripada Mohd Shukor kerana mahu isu tersebut diselesaikan segera tanpa campur tangan pihak ketiga.