Belum pun sempat mengemudi pasukan menghadapi aksi kompetetif pertama musim ini, kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Damian Yeo Shen Li kini diibaratkan bagai telur di hujung tanduk.
Ini susulan kemelut politik semasa yang melanda negara umumnya dan Melaka khususnya dan mencetuskan kemungkinan jawatan yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu bakal dilepaskan.
Komposisi semasa parti politik di Melaka hari ini menyaksikan Pakatan Harapan (PH), gabungan parti yang dianggotai Damian Yeo kini bukan lagi menguasai kerusi majoriti, sekali gus memungkinkan akan ada individu baharu menerajui kerajaan negeri dan secara tidak langsung, MUSA turut terkena tempiasnya.
Selepas pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar dari PH semalam membuatkan PH kini hanya tinggal 12 kerusi berbanding lawan yang memegang 16 kerusi.
Damian Yeo semalam menerusi akaun Facebooknya menegaskan, dia masih lagi kekal sebagai Presiden MUSA.
"Ketika kita cuba memberikan tentangan di Liga Super, perkara bodoh (kemelut politik) ini berlaku. Saya sangat sedih dan kecewa," katanya.
Kedudukan Damian Yeo sebagai Presiden MUSA dijangka akan diketahui dalam masa terdekat, hanya selepas kemelut politik yang melanda negara dan negeri ini selesai.
Namun, dengan pertukaran Ketua Menteri yang dijangka berlaku, kedudukan Damin Yeo kian terancam biarpun pelbagai usaha baik dan positif dilakukan pemimpin itu sepanjang hanya beberapa bulan memegang jawatan nombor satu bola sepak negeri ini.