Pertahanan Thailand lengkapkan kuota import Melaka United


Pemain kelahiran Thailand, Narupon Wild Putsorn melengkapkan senarai lima pemain import Melaka United bagi mengharungi musim 2020.

Narupon atau lebih dikenali sebagai Nazza berusia 31 tahun adalah seorang pemain yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan tengah bertahan mengisi kuota pemain import kuota ASEAN Skuad Hang Tuah musim ini.

Melaka United menerusi kenyataan berkata, sebelum beraksi di Thai League 1, Nazza adalah produk pembangunan kelab terkemuka Wales, The New Saints (TNS).

Narupon memulakan kariernya di Thailand bersama Bangkok United pada 2013 sebelum menyertai beberapa kelab terkemuka negara itu seperti Songkhla United, BBCU, Buriram United, Suphanburi dan Nakhon Ratchasima.

Setakat ini beliau telah mengecapi beberapa kejayaan antaranya membantu TNS menjuarai Welsh Premier League dan FAW Premier Cup pada musim 2006/2007 selain membantu Buriram United menjuarai Thai League 1 2017 dan Mekong Club Championship pada 2016.