Bergelut di padang sintetik, dua gol lewat gagal halang kekalahan sulung Melaka United


Bukan malam kita! Segalanya tampak kurang menjadi seawal wisel perlawanan ditiup pengadil perlawanan.

Tidak seperti dua perlawanan awal, pemain-pemain Melaka United dilihat bergelut menyesuaikan diri dengan permukaan padang sintetik di Stadium Tun Razak di Jengka, Pahang. 

Hantaran-hantaran yang kurang menjadi, ketumpulan jentera serangan dan kelekaan barisan pertahanan ditunjukkan anak buah Nidzam Jamil apabila meledak gol pertama menerusi Nicholas Velez pada minit ketujuh.


Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma yang diambil Jazasrin Jamaluddin yang kemudiannya disudahkan dengan baik penyerang import dari Argentina itu.

Belum pun sempat anak buah Zainal Abidin Hassan memperkemaskan benteng pertahanan, Felda United menggandakan jaringan menerusi percubaan dari luar kotak Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-15.

Tidak banyak percubaan berbahaya dicipta pelawat sehingga berakhirnya babak pertama.

Di separuh masa kedua menyaksikan The Settlers menambah derita Melaka United menerusi gol ketiga, sekali lagi ledakan Velez pada minit ke-63.


Beraksi hambar sepanjang 75 minit permainan, Melaka United akhirnya berjaya meledak gol pertama pada minit ke-80 menerusi jaringan Romel Morales.

Gol berkenaan membangkitkan semangat pemain Melaka United untuk terus menggandakan jaringan. Hasilnya, Uche Agba berjaya merapatkan jurang 3-2 menerusi gol pada minit ke-87.

Namun segalanya telah terlewat untuk menghalang Felda United meraih kemenangan sulung musim ini sementara keputusan tersebut merupakan kekalahan pertama skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.