Damin Yeo kekal Presiden MUSA


Damian Yeo Shen Li mungkin kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.

Itu gambaran yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Sulaiman Md Ali.

Damian Yeo berkata, pelbagai isu dibincangkan dalam perjumpaan tersebut termasuk cadangan Sulaiman mengangkat sebagai Presiden yang baharu.

"Antara perbincangan adalah hubungan saya dengan Exco dan pekerja MUSA, hutang MUSA dan penolakan tiga mata. Saya juga mencadangkan ada Presiden baharu atau Ketua Menteri mengambil alih jawatan Presiden. 


"MUSA memerlukan sokongan penuh dari kerajaan negeri. Tetapi Ketua Menteri juga menyatakan bola sepak bukan politik dan kita boleh bekerjasama. Beliau memberi ruang sepenuhnya berbincang dengan saya untuk bola sepak dan kebaikan negeri. Akan ada lebih banyak perbincangan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi status yang dimuat naik ke akaun Facebook peribadinya hari ini.

Jawatan Damian Yeo sebagai Presiden MUSA sebelum ini menjadi tanda tanya selepas berlakunya kemelut politik tanah air yang menyaksikan beliau kini bertukar sebagai pembangkang dalam Dewan Negeri.

Sejak mengambil-alih MUSA, pelbagai aspek telah ditambah-baik Damian Yeo dengan beberapa perancangan rapi termasuk aspek pembangunan fasiliti telah disusun untuk Melaka United.