.

.

Melaka United dipotong 3 mata, tolak 6 lagi mata jika gagal lunas hutang


Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Sulaiman Md Ali menerima tamparan hebat selepas memegang jawatan itu apabila Melaka United dipotong tiga mata.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan berkata, pemotongan itu dilakukan atas kegagalan MUSA membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Melaka United pada tarikh akhir pertama, 31 Januari lalu telah membuat penyelesaian lebih separuh daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai serta membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

"Selepas itu, tiada sebarang pembayaran bagi baki tertunggak MUSA seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri telah tetapkan dan maklumkan kepada FAM iaitu perlu dijelaskan pada penghujung Februari.

"Oleh itu, MUSA didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan oleh mereka sendiri, sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata," katanya hari ini.

Kegagalan Melaka United melunaskan baki yang masih tertunggak itu tidak boleh dikaitkan alasan isu pertukaran kerajaan di negeri atau Perintah Kawalan Pergerakan kerana COVID-19.

Ini kerana tarikh akhir pembayaran baki yang masih tertunggak adalah sebelum terjadinya kedua-dua perkara berkenaan.

FAM juga memberikan tempoh kira-kira enam minggu sehingga 30 April kepada MUSA untuk menyelesaikan baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai itu.

Jika gagal, mereka berdepan tambahan pemotongan sebanyak enam lagi mata.
Powered by Blogger.