.

.

Melaka United 'tumbangkan' PDRM


Skuad Melaka United menghadiahkan kemenangan manis buat penyokong di Stadium Hang Jebat apabila meraih kemenangan kedua di Liga Super selepas menewaskan PDRM FA  3-1 sebentar tadi.

Turun buat pertama kali di depan penyokong sendiri musim ini, Melaka United berada di depan pada minit ke-18 apabila Uche Agba yang tidak dikawal mudah menanduk masuk hantaran lintang Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.


Pertahanan tengah, Jang Suk-won terpaksa diusung keluar akibat kecederaan selepas bertembung dengan pemain PDRM dan kemudiannya digantikan Mohd Razman Roslan.

Menguasai perlawanan namun gagal mencipta gerakan berbahaya sepanjang baki separuh masa pertama dengan membawa bekalan tipis ke bilik persalinan.


Babak kedua menyaksikan Melaka United menggandakan jaringan apabila kapten, Safiq Rahim meledak gol kedua pada minit ke-70 namun pelawat merapatkan jurang gol 11 minit kemudian.

Berpunca daripada larian solo pemain PDRM yang menewaskan beberapa pemain, penyerang import, Antonio Germain mudah menolak bola leret melepasi kawalan Khairul Fahmi Che Mat di gawang tuan rumah.


Namun, Wan Amirul Afiq mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut Melaka United di Liga Super apabila meledak jaringan ketiga pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Anak buah Zainal Abidin Hassan terlepas peluang menambah jaringan selepas itu namun, serangan balas pantas Melaka United gagal disempurnakan dengan baik oleh Sony Norde.

Keputusan ini meletakkan Melaka United di tangga teratas Liga Super dengan enam mada dari dua perlawan, dengan kedudukan dijangka berubah apabila beberapa perlawanan lain berlangsung esok.
Powered by Blogger.