.

.

Saya akan kembali! - Damian Yeo


Damian Yeo tekad untuk terus membantu menaikkan nama Melaka United seperti yang dirancangnya sebelum ini.
Plot penceritaan bola sepak Melaka tambah menarik apabila bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li memberi bayangan beliau akan kembali menyertai kepimpinan pasukan itu.

Biarpun tidak menyatakan bila dan apakah jawatan yang akan disandangnya, Damian Yeo berkata sebarang pengumuman akan dibuat sendiri oleh Ketua Menteri yang juga Presiden baharu, Sulaiman Md Ali.

"Berjumpa Ketua Menteri pagi tadi. Banyak yang dibincangkan bersama mengenai MUSA. Saya tida akan membuat apa-apa kenyataan sebelum dia (Sulaiman) sendiri melakukannya.

"Namun satu perkara yang pasti, saya akan kembali!" katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Satu pertemuan antara kedua-dua pemimpin diadakan hari ini bagi membincangkan masa depan pasukan.
Damian Yeo baru-baru ini kehilangan jawatan yang disandangnya selepas berlakunya perubahan dalam landskap politik tanahair yang menyaksikan beliau kini di blok pembangkang.

Pelantikan Ketua Menteri baharu menyaksikan beliau hilang jawatan secara automatik mengikut Artikel 40 Perlembagaan MUSA.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu mempertahankan dirinya atas penolakan tiga mata Melaka United kerana kegagalan membayar gaji tertunggak.

Menurut Damian Yeo, beliau telah cuba yang terbaik untuk menyelesaikan itu termasuk mengadakan mesyuarat yang akhirnya dibatalkan, keengganan penaja menyerahkan tajaan dan lain-lain.

Berikut merupakan kronologi tersebut.

1. Pada hari Jumaat (13 Mac) yang lepas, saya berjumpa dengan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam minta pandangan beliau mengenai status hutang. Hasil dari perjumpaan tersebut nasihat beliau ialah
a. Bayar hutang RM1.4 juta (RM800 ribu adalah hutang pemain Presiden 2018/2019, Belia 2018/2019, Pengurusan 2019). 
b. Dapat persetujuan daripada pemiutang untuk dilanjutkan masa.

Situasi politik tidak menentu baru-baru ini menyebabkan Damian Yeo hilang jawatan sebagai Presiden MUSA. 
2. Saya telah menghantar menerusi aplikasi WhatsApp kepada Setiausaha Agung MUSA pada 12 Mac supaya satu mesyuarat kewangan diadakan pada hari Sabtu (14 Mac ) pagi untuk membincang isu hutang yang tertunggak, tetapi mesyuarat tersebut tidak dapat diadakan kerana Timbalan Presiden dan beberapa Naib Presiden yang lain tidak dapat hadir maka tiada korum yang secukupnya. Kemungkinan mesyuarat tidak dapat dijalankan kerana kemungkinan saya bukan Presiden lagi.

3. Saya telah berjumpa dengan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada hari Isnin (16 Mac) untuk menyampaikan perkara ini tetapi malangnya, tiada jalan penyelesaian.

4. Saya juga telah berjumpa dengan Datuk Saiful pada petang pukul 4 petang di Hilton Double Tree, untuk memberitahu perkara yang sama, dan beliau ada menyatakan niat beliau untuk menyelesaikan isu ini.

Damian Yeo memberitahu bahawa penaja mahu hutang diselesaikan sebelum sumbangan disalurkan kepada MUSA.
5. Pada keesokkan hari, saya juga berjumpa dengan Ketua Menteri memberitahu pentingnya menyelesaikan hutang RM1.4 juta ini kalau tidak akan ditolak mata. Perbincangan saya dengan Ketua Menteri adalah dinotanya dalam Facebook saya. 

6. Walaubagaimanapun, pada 19 Mac, saya telah mendapat berita bahawa Ketua Menteri adalah Presiden dan dengan itu saya memberi laluan (letak jawatan) kepada Ketua Menteri mengikut di bawah Artikel 40.

7. Kronologi-kronologi di atas adalah penting supaya penyokong-penyokong Melaka dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Saya memohon maaf kepada semua penyokong-penyokong pasukan Melaka dan juga staf, exco dan pemain-pemain bahawa saya telah pun cuba sedaya upaya untuk membuat yang terbaik tetapi malangnya saya gagal untuk memperbaiki keadaan diatas kesuntukan masa, perubahan pentadbiran yang berlaku dimasa yang amat singkat dan Covid-19. 

"Selain itu, pihak penaja juga meminta saya untuk melunaskan hutang terdahulu sebelum menaja Melaka United. Saya pasti dapat melunaskan hutang tersebut sekiranya diberikan masa kepada saya. Oleh itu, saya mohon maaf kepada semua pihak," ujarnya.

Foto: MUSA, FB Damian Yeo
Powered by Blogger.