MUSA dilaporkan cuba memujuk pemain untuk menangguhkan pembayaran gaji tertunggak mereka. |
Bayar atau undang bala. Itu yang bakal menanti Melaka United apabila berhadapan situasi genting untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sebelum 30 April ini.
Memetik laporan Harian Metro, Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini kehabisan wang untuk membayar tunggakan RM800,000 apatah lagi ketika pandemik Covid-19.
Pemain-pemain Melaka United dilaporkan tidak bersetuju dengan pelan yang dirangka MUSA. |
Katanya, MUSA didakwa sedang memujuk pemain dan pegawai pasukan untuk bersetuju menangguhkan lagi tunggakan gaji bagi mengelak pasukan dikenakan tindakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Memetik sumber dalaman MUSA, lapor Harian Metro, rata-rata pemain tidak bersetuju dengan langkah tersebut memandangkan ketika ini mereka belum lagi menerima bayaran untuk Febuari dan Mac.
Sumber itu mendakwa, MUSA sudah dua kali mungkir janji untuk membayar gaji pemain terutama membabitkan pasukan belia dan piala presiden sehingga ada antara mereka sudah tawar hati untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak.
Cubaan memujuk dilakukan bagi mengelak dikenakan tindakan susulan oleh FAM. |
"Jika kali ini MUSA terus mengelak daripada membayar tunggakan gaji tahun lalu, itu kemungkinan pemain akan naik angin dan membawa perkara ini ke pihak berwajib untuk tindakan lanjut.
"Saya difahamkan, pengurusan MUSA akan membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya memberi tempoh lagi untuk membayar hutang berkenaan selepas mendapat persetujuan pemain," katanya.
Sebelum ini, Melaka United menerima tamparan hebat apabila FAM memutuskan pemotongan tiga mata ke atas skuad Hang Tuah serta merta.
Keputusan pemotongan mata itu diputuskan pada mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara teleconferencing bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati Melaka United gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.
Beberapa pemain seperti Safiq Rahim terpaksa berniaga bagi mencari duit tambahan ketika ini. |
Ini sekali gus menyaksikan kedudukan Melaka Melaka yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan enam mata berubah susulan keputusan berkenaan.
Dan kini, Melaka United turut berdepan pemotongan tambahan enam mata sekiranya masih gagal menyelesaikan juga baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga 30 April ini.
Sementara itu, wakil MUSA ketika dihubungi berkaitan perkara terbabit enggan mengulas berkaitan masalah pembayaran tunggakan gaji pemain itu.