.

.

Naruphon heret Melaka United ke FIFA



Sudah cukup cukup sudah! Kesabaran bekas pertahanan Melaka United, Naruphon Wild Putsorn kini sampai ke kemuncaknya selepas Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) membisu tentang isu gaji tertunggaknya sejak Mac lalu.


Memetik laporan The StarNaruphon berkata, pasukan itu hanya membayar gaji Februari lalu dan hanya suku daripada gaji Mac.


Pertahanan daripada Thailand itu menjelaskan, dia banyak belajar daripada ragam persatuan bola sepak di Malaysia dan akan memajukan laporan mengenai isu ini kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Naruphon berkata, dia pada dasarnya tidak mahu meninggalkan Melaka United dan mahu menghormati kontrak sedia ada namun sikap berdiam diri MUSA mengubah pendiriannya.


"Saya berada pada situasi yang mana menjejaskan kewangan, mental dan emosi. Keadaan ini turut menjejaskan hubungan saya bersama isteri yang sarat mengandung," katanya.


Bekas pemain Buriram United dan Suphanburi itu menghantar surat penamatan kontrak kepada MUSA pada 24 Julai lalu sebelum memajukan laporan kepada FIFA berhubung isu tunggakan gajinya.




Mengulas lanjut, Naruphon berkata, ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan memahami situasi yang dialaminya ketika itu.


"Dia faham situasi dan namun mahu saya kekal. Saya amat berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang beraksi bersama Melaka United.


"Saya sangat gembira menghabiskan masa bersama pemain-pemain dan staf kejurulatihan. Kami tampil sebagai satu pasukan dan mampu mencipta sesuatu yang hebat (musim ini)," ujarnya.


Tanpa sebarang kelab, Naruphon kini mahu menghabiskan masa bersama isterinya dan merancang mengenai masa depan mereka.


"Keluarga saya berdepan situasi mencabar pada sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Jadi saya berundur (dari pasukan) dan melihat apa yang boleh dilakukan selepas ini," katanya.

Powered by Blogger.