.

.

Melaka United lebur rekod tanpa kalah Perak

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1n4ZIKqgWBYtxJArlfvZP4JTMWhBYXXle

Rekod tanpa kalah Perak dalam Liga Super berkecai selepas tumpas 0-1 kepada Melaka United di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Melaka United yang tekad mahu bangkit dari dua kekalahan sebelum ini bertandang ke gelanggang lawan tanpa kelibat Safiq Rahim dalam kesebelasan utama.

Namun, penggantinya, Mohd Syamim Yahya berjaya melaksanakan tugas dengan baik apabila berpasangan bersama Romel Morales di bahagian tengah sambil dibantu Saiful Ridzwan Selamat di bahagian tengah bertahan.

Pada aksi malam tadi, Melaka United berpeluang mendahului tuan rumah seawal minit kesembilan apabila gerakan serangan balas dari bahagian sayap kanan menyaksikan cubaan bola lencong Uche Agba sedikit tersasar.

https://drive.google.com/uc?export=view&id=16rMj41Tk69BfDfqvmdi2ceZBAVaVmf-R

Skuad Seladang kemudiannya bangkit menguji Melaka United menerusi sepakan voli Shahrel Fikri Md Fauzi dari luar kotak penalti namun percubaan itu terus ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Kesilapan pertahanan Jang Suk-won ketika mengeluarkan bola yang tepat di kaki pemain lawan hampir dihukum namun cubaan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-18 hanya sedikit tersasar.

Kedua-dua pasukan saling mengatur serangan namun Melaka United dilihat beraksi dengan lebih baik terutama menerusi peratusan kawalan bola berbanding pasukan tuan rumah.

Bermula babak kedua, skuad bimbingan Mehmet Durakovic hampir memecah kebuntuan namun penyudah tumpul Shahrel Fikri menyaksikan percubaannya dalam kotak penalti Melaka United diselamatkan Khairul Fahmi.

Dan pada minit ke-61, hantaran cantik Uche Agba ke bahagian sayap kiri sampai ke kaki Ferris Danial yang berjaya melepasi perangkap offside. Pemain sayap itu kemudiannya mudah menyepak lencong melepasi kawalan penjaga gol Perak untuk meletakkan pelawat di depan.

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1kNB495tUVK9aa-IiUQnaFAGryp8p9ATV

Tiada sebarang gol lagi dihasilkan selepas itu. Namun apa yang menariknya, corak permainan anak buah Zainal Abidin Hassan semakin meningkat menerusi hantaran pendek dan persefahaman yang baik antara pemain. 
Pemain-pemain Melaka United dilihat tidak memberikan dan menghadkan ruang pemain Perak memegang bola terlalu lama sehinggakan menyebabkan pemain lawan sukar mencipta gerakan berbahaya. 
Tekanan yang diberikan pemain-pemain turut menyebabkan pemain lawan melakukan kesilapan sehingga hilang kawaan bola serta menutup ruang untuk mereka menghantar bola kepada rakan sepasukan.
Foto: MUSA, MFL
Powered by Blogger.