Melaka United, Selangor sama handal

https://drive.google.com/uc?export=view&id=14c50SSe50qXk_8VxYS163zyALN2II0N9

Melaka United membawa pulang satu mata berharga dari Shah Alam selepas mengikat Selangor 1-1 di Stadium UiTM malam tadi.


Turun dengan misi meraih kemenangan ketiga berturut-turut, corak permainan Melaka United sedikit merosot berbanding dua perlawanan sebelum ini.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=13EWFHwBrN7IRf0qK_cyab2mF3i_p4yco


Ketiadaan kapten, Safiq Rahim di bahagian tengah tampak sedikit merencatkan percaturan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan terutama berdepan lawan yang menerapkan formasi 5-3-2.


Ini jelas selepas pemain pertahanan Red Giant, Syahmi Safari dilihat kerap mengeksloitasi Khairul Anwar Shahrudin di bahagian pertahanan kiri Melaka United.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1mRDTNyrWPfblnThil9aOYl8E9ugu2RUr


Pelawat terlebih dahulu mendapat peluang apabila sepakan percuma Sony Norde dibias Jang Suk-won tetapi tindakan susulan lewat oleh Uche Agba menyelamatkan gawang Selangor.


Tuan rumah kemudiannya bangkit menerusi beberapa percubaan berbahaya menerusi  Sandro Da Silva pada minit ke-22, Brendan Gan (24') dan Taylor Regen (30').


Dan kebuntuan jaringan akhirnya terlerai apabila Uche melepaskan rembatan leret padu dari luar kotak penalti untuk menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-39.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1LYd4UmPUHm3MbJSHEzvz0zV6lujPCIen


Namun kegembiraan itu tidak kekal lama selepas Sandro Da Silva meledak gol penyamaan selang seminit kemudian hasil hantaran Ifedayo.


Babak kedua menyaksikan Selangor mengandakan asakan untuk mencari gol kemenangan.


Mohd Syazwan Zainon melakukan hantaran silang dari tepat ke kepala penyerang, Ifedayo Olesegun namun penyerang itu gagal menanduk masuk bola tersebut biarpun tidak dikawal.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=13ExfMwOmWgaU9DfBjjqj3TcfWjk5jkij


Beberapa cubaan terhasil seepas itu menerusi Romel Morales dan Uche untuk Melaka United dan Rufino Segovia (Selangor) namun tiada tambahan jaringan terhasil.


Dan pada minit-minit akhir perlawanan, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Brendan Gan dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning.


Keputusan ini melonjakkan Melaka United ke tangga ketiga Liga Super dengan 10 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak.
Foto: MFL