.

.

Idris kembali terajui MUSA?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dikhabarkan mungkin kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Khabar mengenai ‘kepulangan semula’ Idris ke MUSA kini bertiup kencang selepas beliau difahamkan akan dilantik sebagai Presiden baharu bagi menggantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Mat Ali.


Biarpun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada MUSA mahupun Idris sendiri, kepulangan bekas pemimpin persatuan itu dilhat sebagai antara langkah dalam membantu menswastakan dan membangunkan Kelab Bola Sepak Melaka United (MUSA).


Mengimbas penglibatan beliau dalam bola sepak negeri ini, Idris merupakan kepada pencetus kebangkitan Melaka keluar daripada Liga FAM selepas mengambil-alih pucuk pimpinan MUSA (MAFA ketika itu) dengan membawa masuk Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi menguruskan pasukan.



Hanya setahun selepas rombakan dan penstrukturan semula persatuan dan pasukan, Melaka United berjaya menjuarai Liga FAM pada 2015 sebelum mengulangi kejayaan sama tahun berikutnya apabila menjuarai Liga Premier.


Sejak daripada itu, Melaka United kekal di Liga Super. Perubahan landskap politik tanah air pada 2018 menyaksikan tugasan Idris sebagai Presiden MUSA berakhir dan kini namanya kembali disebut-sebut untuk menerajui semula MUSA.



Apakah sirih pulang ke gagang ini bakal memberikan tonik ekstra buat MUSA dalam membantu merencanakan yang terbaik buat MUFC? 


MUFC yang kini diuruskan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilihat masih bergantung kepada MUSA diawal penswastaan kelab tersebut.


Ini kerana pembabitan menyeluruh kepimpinan MUSA masih lagi diperlukan dalam membentuk kelab yang mampu berdiri sendiri tanpa tongkat daripada kerajaan negeri.


Justeru, diharapkan dengan kehadiran Idris mampu membantu membimbing pucuk pimpinan MUFC sekali gus dapat menarik lebih banyak tajaan dan diswastakan secara menyeluruh pada tahun-tahun mendatang.


Foto: MUSA

Powered by Blogger.