Gara-gara memakai jersi juara Liga Perdan Inggeris, Liverpool ketika acara rasmi persatuan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Ir Ahmad Roslee Hamzah mendapat kecaman hebat di media sosial.
Dilabel sebagai tidak profesional kerana mengenakan jersi kelab lain ketika Majlis Penutup Kursus Kejuratihan Akar Umbi anjuran MUSA, Ahmad Roslee yang baharu dilantik menggalas jawatan itu seharusnya peka terhadap apa yang dilakukannya.
Tindakan beliau jelas berbeza dengan Pengarah Teknikal, Richard Sinapan dan Ketua Jurulatih Remaja, Rashid Mahmud yang masing-masing memakai baju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jersi Melaka United.
Perkara seperti ini tidak sewajarnya berlaku apatah lagi dilakukan oleh individu yang berjawatan tinggi dalam sesuatu badan atau persatuan.
Turut dikongsikan di Facebook Harimau Malaya, tindakan Ahmad Roslee dilihat sebagai tidak faham erti bola sepak profesional yang diterapkan di negara ini.
Menurusi komen di perkongsian tersebut, seorang penyokong, Cheff Fauzey berkata, tidak perlu seseorang berjawatan memakai jersi kelab lain dalam majlis rasmi.
“Untuk majlis rasmi, aku rasa tidak perlulah nak sarung jersi pasukan luar. Tidak kiralah pasukan apa sekalipun. Kena sokong pasukan sendiri.
“Jangan malu pakai jersi pasukan sendiri walaupun tahap kita tak sama macam pasukan Liga Perdana Inggeris. Untuk dijadikan idola falsafah kelab luar bolehlah dimasukkan dalam pasukan sebagai penambahbaikan,” katanya.
Foto: MUSA