.

.

Lupakan M3, Melaka United terima lesen bersyarat

Selepas dikaitkan dengan isu panas kemungkinan disingkirkan ke Liga M3, Melaka United akhirnya menarik nafas lega selepas dianugerahkan lesen kelab kebangsaan secara bersyarat bersama enam pasukan lain.


Pengerusi FIB Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, Semua pasukan kecuali UKM FC disahkan berjaya memenuhi syarat ditetapkan bagi membolehkan mereka layak beraksi sama di Liga Super 2021 serta Liga Premier 2021. 


Katanya Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) masih terdapat tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM276,169.75 telah berjaya mendapat perjanjian bersama untuk pembayaran berjadual dan bayaran seterusnya akan dibuat sebelum tarikh yang ditetapkan. 


“Sekiranya gagal membuat bayaran, tindakan-tindakan sanksi termasuk dan tidak terhad kepada penarikan balik lesen boleh dikenakan.


“Pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan tiada tunggakan atau terdapat perjanjian bersama untuk penyelesaian atau bayaran berjadual supaya pasukan tersebut masih dalam pematuhan dengan syarat oleh lesen mereka.


“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM atau mempunyai kes tunggakan berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik pada bila-bila masa,” katanya.


Disebabkan tarikh akhir dokumentasi kewangan bagi pelesenan kelab berakhir pada 30 Jun setiap tahun, Surat Akuan Berkanun (SD) diperkenalkan pada 2019 untuk memantau kes tunggakan kepada pemain, pegawai dan agensi kerajaan yang merangkumi tempoh selepas lesen diberi iaitu 1 Julai hingga 30 November tahun berkenaan sebagai langkah memastikan penyelesaian tunggakan diambil pasukan.


Berdasarkan SD yang telah diserahkan pada 15 Disember 2020, pasukan Melaka FA, Kelantan FA dan Sarawak United FC telah mengisytiharkan tunggakan pemain dan pegawai dalam tempoh tersebut dan juga dilampirkan persetujuan bersama pegawai dan pemain dan pelan bayaran ansuran bagi tunggakan tersebut.


Mengulas lanjut, Sheikh Mohd Nasir berkata, MUSA berjaya membuat bayaran pertama sebanyak RM476,160.00 dan Kelantan FA pula telah membuat bayaran sebanyak RM44,327.00, manakala bakinya akan dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah diserahkan.


“Pelan pembayaran bagi pasukan-pasukan ini akan dipantau dari semasa ke semasa. Sekiranya mereka gagal, sanksi terhadap pasukan tersebut boleh diambil,” ujarnya.


Foto: FAM

Powered by Blogger.