.

.

Melaka United bakal kembali ke Liga M3?

Belum pun bermula sepak mula Liga Malaysia, Melaka United tersentak apabila berdepan kemungkinan kembali ke ‘tempat asal’ Liga FAM atau sekarang dikenali sebagai Liga M3.


Ini susulan kegagalan Melaka United melengkapkan dokumen bagi membolehkan sesebuah kelab itu bertanding dalam kejohanan musim 2020.


Dokumen yang dimaksudkan terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).


Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, nasib Melaka United dan sebuah lagi pasukan, Pahang akan diputuskan dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM minggu depan.


“Semua pasukan sudah (melengkapkan dokumen) setakat ini, namun terdapat dua lagi pasukan perlu lengkapkan beberapa perkara seperti yang diminta oleh kami.


“Lima daripada tujuh pasukan yang diberi lesen bersyarat sebelum ini telah menyelesaikan proses mereka, malah lesen juga tiada masalah, namun dua pasukan ini, lesen mereka boleh ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.


Untuk rekod, Melaka United pernah beraksi selama lima musim di Liga M3 selepas tersingkir dari Liga Perdana pada 2010.


Foto: MUSA

Powered by Blogger.