Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, satu persatu masalah menimpa Melaka United.
Selepas gagal mendapatkan Ivan Lendric dek kerana keengganan majikannya mengeluarkan surat pelepasan, kini Melaka United berdepan masalah lebih besar sekatan jendela perpindahan.
Bekas pemain import, Narupon Wild berkata, Melaka United telah melepasi tempoh 45 hari pelan pembayaran (bermula 12 November 2020) yang diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebanyak RM241,726.69 kepada pemain tengah itu.
Menurut Narupon, dia ada menerima maklum balas daripada FIFA dan mereka sedia maklum mengenai kegagalan Melaka United mematuhi syarat yang ditetapkan badan bola sepak berkenaan.
"Dalam hal ini, Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) merujuk kepada akibat atau kegagalan mematuhi (pelan penyelesaian) akan mengakibatkan peenggantungan pendaftaran (pemain baharu) sehingga jumlah penuh hutang diselesaikan.
“Pemiutang yang merupakan ahli persatuan (Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM) diminta digantung bermula tempoh pendaftaran (pemain),” katanya kepada NST Online hari ini.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain, Curran Singh Ferns turut mendakwa perkara sama selepas gagal mendapat tunggakan gajinya.
“Baru lepas dengan pemain yang heret MUSA (Persatuan Bola Sepak Melaka United) ke FIFA. Kenakan larangan perpindahan pemain sebab hutang gaji lepas luput tempoh 45 hari diberikan FIFA.
“Melaka United turut gagal melunaskan gaji mengikut tempoh akhir pelan pembayaran pada 31 Januari dan diberikan sehingga 17 Februari untuk membayar gaji saya. Mereka sepatutnya dihukum,” katanya menerusi status di Instagram ‘story’.