.

.

Melaka United janji selesai 'hutang' Narupon dalam masa terdekat


Melaka United Football Club (Melaka United) akan menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain import, Narupon Wild Putsorn dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan kelab dikenakan tindakan penggantungan satu jendela perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, kelab itu telah berjaya menjelaskan tunggakan mencecah lebih RM915,000.00 secara keseluruhan.

Katanya, antara yang berjaya dijelaskan termasuk tunggakan gaji dan elaun pemain import musim lalu, Uche Agba serta bekas pemain musim lalu, Curran Lawrence Singh Ferns. 

"Tunggakan keseluruhan gaji bagi Narupon akan dilunaskan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tindakan larangan pendaftaran pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021. 

'Pembayaran tunggakan gaji dan elaun pemain-pemain dan pegawai pasukan musim 2020 pula telah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

"Pembayaran berjadual ini membabitkan seramai 17 pegawai pasukan musim lalu dan 18 pemain yang masih kekal bersama Melaka United," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Narupon Wild kelamarin berkata, Melaka United telah melepasi tempoh 45 hari pelan pembayaran (bermula 12 November 2020) yang diarahkan FIFA sebanyak RM241,726.69 kepada pemain tengah itu.


Menurut Narupon, dia ada menerima maklum balas daripada FIFA dan mereka sedia maklum mengenai kegagalan Melaka United mematuhi syarat yang ditetapkan badan bola sepak berkenaan.


Sementara itu, Mohd Saiful berkata, tunggakan keseluruhan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya dilunaskan sehingga kini manakala tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mula dibayar mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan. 

"Usaha menyelesaikan segala tunggakan bagi memastikan penyertaan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia 2021 yang dijadualkan bermula 5 Mac depan tidak berdepan masalah dan tidak dikenakan tindakan yang boleh menjejaskan imej bolasepak Melaka," ujarnya.

Powered by Blogger.