Stefan Nikolic melengkapkan senarai lima pemain import Melaka United bagi musim 2021 selepas usaha mendapatkan Ivan Lendric dan Marko Simic menemui jalan buntu.
Penyerang berusia 31 tahun itu dijangka akan bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Alex dos Santos Goncalves di jentera serangan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Nikolic yang beraksi di Liga Bosnia bersama kelab Krupa menjadi pilihan ketiga kelab selepas berdepan halangan membawa dua penyerang sasaran ke Stadium Hang Jebat.
“Nikolic jadi pilihan terbaru Melaka United selepas perbincangan untuk bawa pulang Simic gagal capai persetujuan tatkala mereka juga terpaksa melupakan khidmat Lendric ekoran masalah pelepasan,” katanya menerusi ciapan di Twitter semalam.
Melaka United sebelum ini mengekalkan dua pemain import, Sony Norde dan Jang Suk-won dan mengikat dua muka baharu, Alex Goncalves dari Brazil dan Manuel Ott (Filipina).