.

.

Gagal lunas gaji tertunggak, Melaka United ditolak 3 mata

Pengurusan berbeza namun skrip tetap sama. Itulah yang ‘dipertontonkan’ kepada penyokong Melaka United hampir saban tahun.

Isu tunggakan gaji sering menghantui pasukan. Tahun lalu tiga mata ditolak dan musim 2021 ini juga nasib sama menimpa Melaka United.


Badan bebas, First Instance Body (FIB) berkata, Melaka United telah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta bagi saingan Liga Super 2021 di atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.


Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain.


“Berhubung kes Melaka United, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari lalu telah membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.



“Namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka United didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Melaka United ketika ini mengutip empat mata daripada empat perlawanan selepas merekodkan keputusan seri dalam keempat-empat perlawanan.


Mengulas lanjut, FIB berharap bahawa keputusan ini dijadikan teladan untuk memastikan Melaka United mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.


“Jika pasukan terbabit mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan yang seterusnya,” tegasnya.

Powered by Blogger.