.

.

Gol dramatik bantu Melaka United ikat PJ City


Adakah karma itu wujud? Dan jawapan YA jika dilihat dalam aksi PJ City FC dan Melaka United di Stadium MBPJ, Petaling Jaya malam tadi.

Perlawanan yang diwarnai drama dan aksi dramatik itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas berakhir masa penuh perlawanan.



Melaka United terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-55 selepas S.Kumaahran menanduk masuk bola hantaran lintang Sony Norde. 



Itu merupakan gol kedua pemain itu dalam dua perlawanan Liga Super musim ini.


Sepakan gol yang kurang baik oleh Khairul Fahmi Che menyaksikan bola terus ke pihak lawan yang kemudiannya melancarkan serangan balas sebelum Darren Lok merembang kencang dari luar kotak untuk menyamakan kedudukan 1-1.


Kontroversi bermula apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City selepas Ahmad Khairil Anwar Ahmad Zamri atau Beto dijatuhkan dalam kotak penalti.



Tindakan simulasi atau lakonan Beto yang sengaja menjatuhkan diri mencetuskan perbalahan antara pemain, pengadil dan penjaga garisan. Namun keputusan penalti pengadil kekal.


Darren sekali lagi tidak mempunyai masalah menewaskan Khairul Fahmi yang merebahkan badan ke arah bertentangan untuk meletakkan tuan rumah di depan.



Ketika tiga mata penuh sudah dalam genggaman PJ City, Melaka United berjaya menyamakan kedudukan pada gerakan akhir perlawanan.


Berpunca daripada sepakan percuma dari sebelah kanan gol, pemain pertahanan Melaka United, Faris Shah Rosli menanduk bola ke arah gawang sebelum terkena Mohammad Raffi Nagoorgani untuk memberikan pelawat untuk satu mata dibawa pulang ke Melaka.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.