Simulasi: Beto digantung dua perlawanan

Karma - buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. 

Itu pengajaran penting buat ‘pelakon’ PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri atau Beto selepas dikenakan hukuman penggantungan perlawanan gara-gara menipu pengadil untuk mendapatkan penalti ketika menentang Melaka United baru-baru ini.


Hukuman tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2021-2025 hari ini.


Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Daruk Baljot Singh Sidhu berkata, Beto turut diberikan amaran keras dan berdepan hukuman lebih berat jika mengulangi perkara sama pada masa akan datang.


“Hukuman digantung dua perlawanan iaitu PJ City bertemu Terengganu FC pada 2 April 2021 dan Kuala Lumpur City FC (7 April) akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila terjatuh di dalam kotak penalti dan memegang kaki seolah-olah telah dikasari oleh pemain lawan walaupun tiada pemain pihak lawan yang menyentuhnya dan ini telah mewujudkan situasi simulasi.”


“Pemain turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman ini tidak boleh dirayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.



Dalam pada itu, penyerang Melaka United, Alex Goncalves turut diberikan amaran keras oleh FAM kerana melempar bola ke arah pengadil selepas gol kedua Melaka United ketika menentang PJ City.


“Kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Super, PJ City FC dan Melaka United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 10 Mac 2021.


“Hukuman diberikan amaran keras supaya tidak melakukan perbuatan ini lagi dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.


Foto: PJ City FC, MUFC