.

.

Apek angkat kaki?

Ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat dalam senarai 20 pemain Melaka United ketika menentang Perak FC menjadi tanda tanya sekali gus mencetuskan spekulasi penjaga gol berpengalaman itu bakal meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan nanti.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika ditemubual sebelum aksi ke-10 Liga Super itu bagaimanapun enggan mengulas secara mendalam mengenai ketiadaan Khairul Fahmi dalam senarai pemainnya.

Tempat Khairul Fahmi telah digantikan Norazlan Razali sementara Ahmad Solehin Mamat pula mengisi posisi penjaga gol simpanan dalam aksi di Ipoh malam tadi.

Tidak dapat dipastikan sama ada penjaga gol kebangsaan itu direhatkan atau mengalami kecederaan ketika menjalani latihan untuk aksi menentang Perak FC.

Prestasi kurang konsisten Khairul Fahmi musim ini menjadi bualan penyokong susulan beberapa kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Difahamkan penjaga gol berusia 32 tahun itu sedia meninggalkan pasukan apabila pintu perpindahan pertengahan musim dibuka kelak. 

Namun, segala keputusan terletak di tangan sama ada Khairul Fahmi sendiri mahupun bos baharu Melaka United kerana penjaga gol tersebut baharu sahaja menandatangani kontrak baharu pada Februari lalu sehingga 2022.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.