.

.

Jangan ulang kesilapan yang bukan level awak


Zainal Abidin Hassan mengingatkan setiap pemainnya untuk kekal konsisten dalam setiap perlawanan dan tidak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya memberi impak kepada pasukan.

Bercakap kepada Nadi Arena semalam, pengendali berusia 60 tahun itu berkata, sebagai ketua jurulatih, dia telah melakukan yang termampu untuk membentuk pemain ke arah lebih baik namun segalanya terletak pada diri pemain itu sendiri.

"Sudah bermacam-macam kita buat termasuk post mortem untuk memperbaiki (kelemahan). Mereka (pemain) harus perbaiki dalam minda untuk menjadi seorang pemain profesional.

"Bermakna pertama, jangan ulangi kesilapan yang selalu dilakukan. Kedua, jangan buat kesilapan di bawah level awak," katanya.

Khabar angin bertiup kencang mendakwa Zainal Abidin diberikan kata dua dan perlu menang dalam aksi dua perlawanan selepas ini, menentang Perak dan Kedah jika mahu kekal di Melaka.


Pemilik baharu, Datuk Seri Justin Lim semalam difahamkan mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain tanpa melibatkan barisan kejurulatihan bagi mengetahui dengan lebih lanjut situasi semasa di kelab.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, sudah menjadi asam garam dalam bola sepak ketua jurulatih dipersalahkan biarpun kesilapan berpunca daripada pemain itu sendiri.

"Orang kata biasalah kan... Kesilapan pemain jurulatih juga akan perbaiki dan bertanggungjawab. Saya bukan marah pemain, itu hak pengurusan. 

"Tanggungjawab saya membentuk pasukan dan menjadikan pemain itu lebih berjaya," ujar beliau.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.