.

.

'DNA Jenal' gagal saingi DNA Jerman


Melaka United seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal meraih sebarang mata ketika tumpas 2-3 kepada Selangor FC di laman sendiri malam tadi.

Biarpun dua kali mendahului lawan, kesilapan dan kealpaan di barisan belakang membuatkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berputih mata.

Menurunkan kesebelasan yang sama ketika menumpaskan UiTM FC minggu lalu, Melaka United tidak banyak mencipta serangan berbahaya ke arah gol.


Namun pada masa kecederaan separuh masa pertama, skuad Hijau Putih itu dihadiahkan sepakan penalti apabila Jordan Ayimbila menjatuhkan S. Kumaaharan dalam kotak penalti.

Penyerang import, Stefan Nikolic tidak mempunyai masalah menewaskan Khairul Azhan Khalid untuk meletakkan Melaka United 1-0 di depan ketika menuju bilik persalinan separuh masa pertama.

Pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan di separuh masa kedua apabila Ifedayo Olusegun mudah menyepak masuk bola kuisan lemah Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-51.


Melaka United terus menggadakan asakan menerusi 'DNA Jenal'. Ketangkasan Khairul Azhan berjaya menafikan dua percubaan tepat ke arah gol dalam tempoh dua minit menerusi Wan Amirul Afiq dan Manuel Ott.

Namun, usaha Melaka United berhasil pada minit ke-58 apabila Ahmad Syamim Yahya berjaya menanduk masuk bola sepakan penjuru Kumaahran untuk menjadikan kedudukan 2-1. 

Kecerian kira-kira 900 orang penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Ifedayo sekali lagi meledak dan kali ini menerusi tandukan selepas penyerang itu tidak dikawal oleh pertahanan Melaka United.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Mukhairi Ajmal pada minit ke-70 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Dan ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian, Syahmi Safari meledak gol kemenangan skuad 'DNA Jerman' itu menerusi sepakan voli pada minit ke-88.

Melaka United cuba mencari gol penyamaan selepas itu namun gagal mengelak daripada menerima kekalahan ketiga musim ini. 

Foto: MUFC

Powered by Blogger.