Tiada keraian buat gol debut Stefan Nikolic sebaliknya bekas penyerang import, Anselmo Casagrande menjadi duri dalam daging apabila meledak dua gol ketika membantu Penang FC menundukkan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Dua lagi bekas pemain Melaka United, Khairu Azrin Khazali dan Mohd Azmi Muslim turut tersenyum apabila menjadi nadi penting kepada skuad Harimau Kumbang untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Melaka.
Dan di kem Melaka United pula, kekalahan kedua dalam tempoh kurang seminggu selepas tunduk ke Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan satu keputusan yang kurang baik dan mampu menjejaskan moral pasukan.
Ketumpulan jentera serangan sekali lagi menjadi antara penyumbang kepada keputusan hambar yang dicatatkan pasukan dalam kempen Liga Super musim ini.
Dan aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi jelas menceritakan segalanya.
Melaka United yang turun buat pertama kalinya di depan penyokong sendiri bermula garang apabila percubaan Manuel Ott sekadar singgah di palang gol pelawat pada minit kedua perlawanan.
Tuan rumah terus mengasak selepas itu apabila sepakan percuma jarak jauh Sony Norde terbias pertahanan lawan sebelum ditangkap kemas Sam Somerville.
Biarpun 10 minit pertama perlawanan memperlihatkan penguasaan penuh Melaka United namun tiada percubaan berbahaya dicipta skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.
Penang FC berpeluang mencipta jaringan namun bola tandukan penyerang import, Sheriddin Boboev yang terhasil daripada sepakan sudut itu tidak memberikan masalah kepada Khairul Fahmi Che Mat di gawang Melaka United.
Selepas itu, Alex Goncalves terlepas peluang meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-36 tetapi tandukan tipis bekas penyerang Persela Lamongan itu sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol pelawat.
Namun, gawang Melaka United akhirnya bocori juga pada minit ke-39 apabila Casagrande yang tidak dikawal tenang mendada bola hantaran silang Al-Hafiz Harun di dalam kotak penalti sebelum melepaskan satu sepakan voli rendah menerjah gawang tuan rumah.
Stefan Nikolic tampil melakukan debut sulung untuk Melaka United menggantikan Alex Goncalves yang mengalami kecederaan bahu di separuh masa kedua. Penang FC turut mengeluarkan Somerville dan digantikan See Tian Kiat.
Casagrande menggadakan jaringan buat pelawat pada minit ke-48 apabila menanduk masuk hantaran silang Al-Hafiz. Boboev turut terlibat dalam gerakan gol tersebut.
Melaka United cuba bangkit selepas itu dan pada minit ke-49 menyaksikan percubaan dari luar kotak penalti Ott hanya sedikit sahaja melepasi palang.
Usaha anak buah Zainal Abidin itu berhasil pada minit ke-62 apabila Nikolic berjaya menanduk masuk sepakan percuma S. Kumaaharan untuk merapatkan jurang kepada 1-2 sekali gus merekod gol debut sulungnya bersama Melaka United.
Kumaaharan berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-69 namun sepakan percuma yang diambilnya sekadar singgah di bahagian tepi gawang Penang FC.
Sony berjaya lolos masuk ke kotak penalti Penang FC, namun percubaan penyerang antarabangsa Haiti itu diselamatkan penjaga gol gantian pelawat, Tian Kiat.
Tian Kiat sekali lagi muncul penyelamat Penang FC apabila melakukan aksi akrobatik menepis sepakan percuma kencang Sony pada minit ke-90.
Foto: MUFC