.

.

UiTM FC mangsa kebangkitan Melaka United

Pemilik baharu dan semangat juga baharu! UiTM FC menjadi mangsa kebangkitan Melaka United apabila tumpas 0-3 pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.

Turun tanpa Alex Goncalves yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan, Zainal Abidin Hassan memberikan Stefan Nikolic penampilan pertama dalam kesebelasan utama sementara Sony Norde diberikan lilitan kapten selepas Razman Roslan direhatkan di bangku simpanan.

Pertemuan dua pasukan tercorot Liga Super ini menyaksikan UiTM mendominasi 10 minit awal perlawanan.

Pasukan The Lion Troops terlebih awal menguji Khairul Fahmi Che Mat namun percubaan penyerang import, Nana Poku tepat ke arah penjaga gol Melaka United itu.

Selang dua minit kemudian, giliran Sony terlepas peluang terbaik meletakkan pelawat di depan namun sepakan volinya dari dalam kotak penalti sedikit tinggi melewati palang gol tuan rumah yang dikawal Dominik Picak.

Melaka United terus mendominasi perlawanan selepas itu dengan deretan percubaan menerusi Ahmad Syahmin Yahya, S. Kumaahran dan Nikolic namun kesemuanya dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol lawan.

Usaha skuad hijau putih itu berhasil pada minit ke-36 apabila Sony bijak merembat bola lencong ke sebelah kanan gawang Picak untuk meletakkan Melaka United satu gol di depan ketika menuju bilik persalinan.

Bersambung separuh masa kedua, Melaka United terus menguasai perlawanan dan hampir menggandakan jaringan menerusi percubaan bola lambung Ahmad Syamin tetapi berjaya ditepis keluar Picak.

Gol kedua Melaka United hadir pada minit ke-60 apabila Nikolic bijak mencuri ruang menanduk masuk bola sepakan percuma Kumaahran.

Itu merupakan gol kedua Nikolic dalam dua perlawanan.

Gol itu tidak menghentikan penguasaan Melaka United dan anak buah Zainal Abidin terus menggandakan asakan.

Hasilnya pada minit ke-65 Kumaahran meledak gol ketiga pelawat selepas menerima bola dari dalam kotak penalti sekali gus menewaskan Picak di gawang UiTM FC.

Benteng Melaka United hampir dihukum pada minit ke-72 apabila Poku bijak mencuri ruang diantara pertahanan pelawat namun tandukan penyerang dari Ghana itu sedikit tersasar.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.