.

.

Melaka United rebah di laman sendiri

Usai tiupan wisel penamat aksi menentang Kedah malam tadi memperlihatkan kerisauan di raut wajah Zainal Abidin Hassan.

Pastinya kekalahan 1-3 di laman sendiri bukan sesuatu yang diinginkan apatah lagi diberikan kata dua oleh pemilik baharu yang ingin melihat prestasi ketua jurulatih itu ketika menentang Perak dan Kedah.

Lulus di Ipoh, kesilapan melepaskan dua gol yang berpunca daripada pemain pertahanan membuatkan masa depan Zainal Abidin Hassan kini diibaratkan bagai telur di hujung tanduk.

Tanda pagar #zainalout sering berlegar di ruangan komen penyokong Melaka United yang menambahkan lagi kekeruhan.

Dan aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, Melaka United tersungkur di laman sendiri apatah lagi kehilangan lima tonggak utama yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan penggantungan.

Melaka United terlebih dahulu memperoleh peluang menjaringkan gol apabila Stefan Nikolic berjaya mencuri bola daripada kaki penjaga gol Kedah, Shahril Sha'ari.

Penyerang dari Montegro itu berjaya melepaskan percubaan namun sedikit lemah dan berjaya dihalang oleh pertahanan pelawat.

Kelekaan benteng pertahanan Melaka United membawa padah apabila pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas bola hantaran Sherman terkena tangan Jang Suk-won.

Sherman tidak mempunyai masalah menewaskan Norazlan Razali di gawang tuan rumah untuk meletakkan Kedah di depan pada minit ke-18.

Usaha Melaka United memburu gol penyamaan berhasil pada minit ke-38 apabila turut dihadiahkan sepakan penalti selepas Manuel Ott dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Renan Alves.

Nikolic mudah meletakkan bola ke jaring gol skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak itu untuk menjadikan kedudukan 1-1 ketika menuju bilik persalinan.

Awal babak kedua menyaksikan Melaka United mengasak bertali arus bagi mencari gol pendahuluan.

Dan usaha itu tampak seakan berhasil pada minit ke-51 namun tandukan Suk-won dari dalam kotak penalti sekadar mengenai tiang gol di sebelah kanan pelawat.

Kedah kembali di depan pada minit ke-62 apabila Kipre memanfaatkan kesilapan Hasbullah Abu Bakar dan melakukan hantaran silang kepada Sherman yang mudah menolak masuk gol kedua skuad Lang Merah.

Ketika Melaka United berusaha mencari gol penyamaan, Baddrol Bakhtiar melepaskan satu rembatan kencang untuk meletakkan pelawat selesa dengan margin dua gol depan pada minit ke-86.

Anak buah Zainal Abidin cuba bangkit mencari gol penyamaan namun gagal menembusi kekebalan benteng Kedah untuk menjadikan keputusan kekal 3-1 hingga wisel penamat ditiupkan.

Foto: MUFC, KDA FC

Powered by Blogger.