.

.

Sony, Kocey dan Apek terlepas aksi menentang Kedah

Usaha Zainal Abidin Hassan menyelamatkan kariernya bersama Melaka United kian sukar apabila kehilangan lima pemain tonggak ketika berdepan Kedah Darul Aman malam ini.

Memerlukan kemenangan ke atas skuad Lang Merah di Stadium Hang Jebat, Melaka United tampak tempang dan kini mengharapkan kepulangan Alex Goncalves yang diketepikan sebelum ini kerana kecederaan.


Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, pemain sayap, Sony Norde dan Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman sah tidak dapat diturunkan kerana digantung satu perlawanan.


Katanya, Khairul Fahmi Che Mat, Che Rashid Che Halim dan Mohd Akmal Md Zahir pula terpaksa diketepikan kerana kecederaan.



“Kita berharap Alex kembali cergas dan dapat diturunkan dalam perlawanan itu nanti untuk mengemudi jentera hadapan bersama Stefan Nikolic dan S. Kumaahran,” katanya kepada Melaka Hari Ini semalam.


Dalam pada itu, Muhammad Akram berkata, beliau berharap badi dua kekalahan berturut-turut di hadapan penyokong sendiri sebelum ini dapat ditamatkan dalam aksi menentang Kedah nanti.


Justeru, beliau mengharapkan kesebelasan utama yang dipilih dapat membuktikan keazaman tinggi dan bermain penuh berdisiplin untuk menceriakan penyokong kelab.


“Tidak dinafikan kita tewas dalam dua perlawanan di laman sendiri sebelum ini. Jadi, perkara ini harus kita perbaiki dengan segera.


“Kita perlu mengambil iktibar kekalahan lalu dan menjadikan aksi di laman sendiri sebagai kelebihan untuk mengutip mata berharga bagi keluar dari zon bahaya,” katanya.

Powered by Blogger.