Wan Zaharulnizam Wan Zakaria memberikan talian hayat yang sangat diperlukan Zainal Abidin Hassan apabila jaringan tunggal pemain sayap itu membantu Melaka United melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC di Stadium Perak di Ipoh malam tadi.
Diberikan dua tugas berat menang ke atas Perak FC dan Kedah Darul Aman dalam baki saingan pusingan pertama Liga Super, Zainal Abidin membuat keputusan berani apabila mengetepikan Khairul Fahmi Che Mat di benteng terakhir pasukan dengan memberikan kepercayaan kepada Norazlan Razali.
Percaturan itu tampak berhasil apabila Norazlan atau berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tuan rumah terutama menerusi Izzudin Roslan seawal minit ketiga perlawanan.
Norazlan sekali lagi pantas keluar daripada posisinya untuk menafikan peluang satu lawan satu Guilherme De Paula pada minit kesembilan.
Melaka United turut menguji benteng Perak FC namun percubaan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-36 sedikit sahaja tersasar.
Babak kedua menyaksikan perlawanan terus berlangsung seimbang dan Jang Suk-won terlepas peluang meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-55 apabila tandukannya sekadar singgah di palang gol tuan rumah.
Zainal Abidin mampu menarik nafas lega pada minit ke-61 apabila Wan Zaharulnizam meletakkan Melaka United di depan selepas menerima hantaran Stefan Nikolic dari dalam kotak penalti.
Perak FC terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun tuah ternyata berpihak kepada Zainal Abdin dan anak buahnya apabila berjaya mempertahankan kedudukan untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Ipoh.
Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke tangga kelapan Liga Super dengan mengutip 10 mata dalam 10 perlawanan.
Foto: MUFC, Perak FC