.

.

Azam Azih dalam radar Melaka United

Melaka United dikhabarkan berminat membawa masuk perancang kreatif skuad kebangsaan, Mohamad Nor Azam Abdul Azih bagi memperkukuhkan kelab itu bagi mengharungi baki separuh kedua Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Azam Azih yang berada dalam senarai 25 Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi baki tiga perlawanan terakhir kumpulan G,  pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Asia 2023 dilihat sebagai calon ideal bagi bergandingan bersama Manuel Ott dan Ahmad Syamim Yahya di jentera tengah Melaka United.

Pemain kelahiran Maran itu cukup dikenali menerusi visi dan teknik hantaran yang berkualiti yang mampu membelah pertahanan lawan.

Tonggak Sri Pahang FC itu memulakan karier bersama skuad Piala Belia Pahang sebelum dipanggil menyertai skuad Harimau Muda B pada 2014 dan setahun selepas itu, dia kembali memperkuatkan skuad Tok Gajah pada usia 20 tahun.

Sepanjang kariernya, Azam Azih muncul naib juara Sukan SEA pada 2017 dan menjadi juara Piala FA bersama Pahang pada 2018.

Khabar mengaitkan perpindahan Azam Azih ke Melaka United selari dengan pengumuman pemilik, Datuk Seri Justim Lim semalam bahawa kelab itu akan membawa beberapa nama besar pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Katanya, siapa yang akan dibawa masuk hanya akan diketahui menerusi pengumuman yang akan dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Foto: Sri Pahang FC

Powered by Blogger.